Selasa, 24 Mac 2009

TIDUR SEBENTAR UNTUK LEBIH AKTIF

KES 1

Hari masih merangkak menuju tengah hari tetapi Aminah sudah berasa cukup letih dan mengantuk sekali. Berkali-kali dia menguap lebar sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya seraya mengeluarkan bunyi, “Uwaaaa……”

Tidak tahan dengan rasa mengantuk yang teramat sangat itu, Aminah meninggalkan dewan kuliah untuk mengambil udara segar di luar. Dia cuba juga membasuh mukanya dengan air sejuk. Buat seketika Aminah berasa cergas sedikit, tetapi apabila dia kembali semula ke dewan kuliah, rasa mengantuknya berulang kembali.

Aminah cuba menahan sedaya mungkin, matanya celik tapi fikirannya kabur. Apabila selesai kuliah, Aminah dapati dia tidak belajar apa-apa pun pada hari itu.



KES 2

Syahid dapati dirinya bersemangat sekali sewaktu dia meninggalkan rumah untuk bekerja. Di pejabat semangatnya tidak pudar walaupun pelbagai masalah yang terpaksa dihadapinya. Tetapi ketika hampir tengah hari, atau kira-kira jam 11.30 pagi rasa mengantuk dan malasnya tiba-tiba datang.

Syahid cuba mengalihkan perhatiannya kepada hal-hal yang tidak membebankan. Dia cuba membaca akhbar tetapi sebaik sahaja akhbar itu selsesai dibacanya, rasa mengantuknya datang lagi. Prestasi Syahid merosot sekali pada hari itu.



KES 3

Setelah menguruskan apa-apa yang patut, Mira duduk dengan malas di kerusi rehat rumahnya. Dia melihat jam, ada kira-kira tiga jam lagi sebelum anak-anaknya pulang. Tiba-tiba dia merasa mengantuk sekali. Rasanya ingin sekali melelapkan mata barang seminit dua tapi khuatir menjadi tabiat.

……………………………………………………………………………………..

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab ‘Misykatul Masabih’ disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: “Tidur yang sedikit di waktu tengah hari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah s.a.w ada melakukannya.”

Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat Zohor.”

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengah hari. Ia dinaggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap bertujuan untuk menyegarkan tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengah hari, didapati amat berkesan untuk memperitngkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.

Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengah hari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti. (Napping news: ‘Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker’s Productivity, ‘from eFuse).

Waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu ini. Fasa ini disebutkan sebagai ‘a mid afternoon quiescent phase’ atau ‘a secondary sleep gate.’ Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengah hari ini ialah Dr.William A. Anthony, ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku ‘The Art of Napping at work.’

Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka ‘Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.’ Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur tengah hari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengah hari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: ‘Parents and Sleep Deprivation,’ Family.com)

Sunnah tidur tengah hari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi releven pada hari ini.

0 comments:

Pelawat

Load Counter

  © Blogger template 'Personal Blog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP