Isnin, 15 Jun 2009

Murid Cerdik Tapi Guru Klasik













Apabila membaca buku sejarah melayu, kita bertemu dengan kisah sejarah Hang Tuah lima bersaudara. Kemasyhuran Hang Tuah lima bersaudara dikaitkan dengan guru mereka yang bernama Aria Putera dari Bukit Panchalusa. Selepas Hang Tuah lima bersaudara tamat belajar ilmu silat di Bukit Panchalusa itu, mereka pulang lalu berjaya mengalahkan lanun-lanun dan orang mengamuk di pasar.

Akhirnya, kelima-lima saudara itu dipanggil oleh raja dan dilantik menjadi pembesar istana. Sejak itu, kelima-lima mereka menjadi orang besar sehingga sampai kepada peristiwa sedih yang berlaku iaitu kisah bagaimana Hang Tuah membunuh Hang Jebat, sahabatnya yang paling dikasihinya.

Itulah sejarah melayu yang masyhur. sejarah itu ditulis ketika negeri Melaka terkenal kira-kira 500 tahun yang lalu. Dunia Melayu, kira-kira 500 tahun dahulu, memasyhurkan tokoh-tokoh Melayu dalam ilmu persilatan dan disebut sebagai legenda. Nama Hang Tuah lebih terkenal daripada nama-nama para ilmuwan lain. mengalahkan kemasyhuran Tun Perak yang menjadi Bendahara atau Perdana Menteri Melaka waktu itu, ataupun nama Tun Sri Lanang yang dipercayai penulis kitab Sejarah Melayu itu sendiri.

Kita tidak pun mengenali para ilmuwan Melayu waktu itu yang mahir dalam pelbagai ilmu seperti perubatan dan sebagainya. bagi menampakkan Hang Tuah lebih luar biasa, maka Hang Tuah dikatakan juga seorang yang mahir dalam pelbagai bahasa. nampaknya, medan persilatan menjadi punca kemasyhuran seseorang pada zaman tersebut.

Guru-guru silat itu pula semestinya mengajar di dalam gua ataupun berada di bukit-bukit pertapaan. mereka sangat sukar didampingi. para guru menjauhi diri daripada masyarakat. anak murid yang berjaya bertemu guru itu pulang membawa kemasyhuran. demikian makna keilmuan pada 500 tahun dahulu di negeri Melayu. itulah zaman Hang Tuah.

Namun, apabila dibandingkan dengan sejarah islam di mana-mana pelosok dunia, keagungan empayar islam tidak pula ditonjolkan menerusi kemasyhuran panglima-panglimanya seperti yang dilakukan pada Hang Tuah. sebaliknya, yang tertonjol ialah para ahli fikir, ahli ilmu, serta pemerintah itu sendiri. Tiada legenda para pembesar islam yang ditonjolkan kerana ilmu persilatannya. inilah perbezaan penonjolan kemasyhuran di alam melayu dengan di alam dunia lain.

Sekarang, kemasyhuran seseorang sudah tidak lagi ditentukan oleh ilmu persilatan. para pelajar yang ingin membina kemasyhuran dan menjadi pembesar negara tidak perlu lagi mengetahui ilmu persilatan. sebaliknya, mereka tahu ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu teknologi maklumat, matematik, sains politik, sains sosial, ilmu keagamaan, dan sebagainya.

Manakala para guru tidak perlu lagi berada di gunung-gunung menanti murid-murid datang menghadap. para guru kini berada di menara gading di mana murid-muridnya tidak lagi perlu mendaki. cukup dengan kereta dan motosikal untuk bertemu mereka.

Pada zaman Hang Tuah, semakin klasik ilmu yang dimiliki para guru itu maka semakin dia berhikmat, tetapi kini sebaliknya. semakin guru itu mengetahui ilmu-ilmu semasa, semakin bijaksana guru itu.

Kita memandang kemasyhuran kita bukan pada guru-guru yang berlagak umpama guru silat pada zaman Hang Tuah. demikian juga tidak wajar apabila guru hanya memiliki ilmu-ilmu lama tanpa memperbaharui ilmu serta kaedah pendidikan yang baru.

Lebih malang apabila anak-anak murid yang cerdik diajar pula oleh guru yang suka cara-cara klasik yang tidak berkembang. sebab itu, islam menawarkan guru yang cerdik bagi anak murid yang pintar. guru yang cerdik ialah guru yang mengembangkan ilmunya supaya sesuai dengan zaman sekarang.

Kita mungkin kini tidak akan masyhur dengan pandai ilmu persilatan tapi biarlah kita masyhur kerana dapat membangunkan orang lain dan membawa orang lain bahagia. inilah zaman kita selepas ditinggalkan Hang Tuah 500 tahun yang lalu.

Rabu, 10 Jun 2009

mambacalah dalam setiap kesempatan



“Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga.” (Hadith Muslim)

Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang khusus
Ada kemuliaan tersendiri yang Allah berikan kepada orang yang berilmu, di dunia mahupun di akhirat. Orang yang berilmu boleh jadi lebih mulia daripada mereka yang banyak harta dan tinggi jawatan atau kuasa. Bahkan, lebih mulia dari ahli ibadah sekalipun.

Rasulullah saw. bersabda, “Kelebihan seorang alim (ilmuwan) terhadap seorang ‘abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang.” (Hadith Abu Dawud)

Bahkan, al-Quran menjelaskan bahawa orang yang paling takut pada Allah adalah para ulama. Tentunya, mereka yang memahami kebesaran dan kekuasaan Allah swt. “...Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama...” (Fathir: 28)

Begitu tingginya penghargaan buat mereka yang berilmu. Khusus mereka yang tergolong pakar dalam al-Quran, ada kemuliaan tersendiri. Dan kemuliaan itu mereka dapat apabila bertemu Allah kelak di Hari Pembalasan.

Rasulullah saw bersabda, “Seorang mukmin yang pandai membaca Alquran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti...” (Hadith Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith lain Rasulullah saw. mengatakan kepada Abu Dzar, “Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu dari shalat (sunnah) seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari shalat seribu rakaat.” (Hadith Ibnu Majah)

Ilmu tetap diperlukan walau suasana apa sekalipun
Hidup dan ilmu pengetahuan hampir tidak dapat dipisahkan. Sangat sukar untuk membayangkan jika kehidupan ditelusuri tanpa pengetahuan. Ruang-ruang kehidupan menjadi begitu gelap. Dan jalan yang akan ditempuh pun nampak bercabang-cabang.

Mungkin kerana itulah Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu. Rasulullah saw. mengatakan, “Menuntut ilmu wajib buat tiap muslim (laki-laki dan perempuan).” (Hadith Ibnu Majah)

Dari sini kita boleh memahami bahawa Islam menginginkan umatnya supaya hidup bahagia, dunia dan akhirat. Tidak ada satu kebahagiaan pun di dunia ini yang dapat diraih tanpa ilmu. Daripada usaha pekerjaan yang menghasilkan sesuap nasi, hinggalah kepada pengokohan status hidup sendiri. Sebagai contoh, mewujudkan sebuah keluarga yang harmonis adalah sangat sukar, tanpa ilmu seni berkeluarga. Begitu juga dalam hal-hal yang lain: sebagai manusia, mukmin, warga negara, dan warga dunia. Jika status-status ini tidak disertai ilmu, manusia akan menjadi korban pembodohan dan penzaliman.

Apatah lagi persiapan menyongsong kehidupan akhirat. Tentu lebih banyak ilmu diperlukan, kerana kehidupan di dunia ini tidak adalah hanya sebagai ladang amal untuk akhirat. Kegagalan hidup di dunia boleh menggiring kecelakaan di akhirat. Na’udzubillah.

Di mana ada kemahuan, di situ ada cara
Persoalan samada berjaya atau tidaknya seseorang mencari ilmu bukanlah bergantung kepada masalah wang ringgit atau kelapangan masa. Tetapi, ianya lebih kepada kemahuan. Inilah faktor atau ukuran yang sangat berat, bagi siapa sekalipun, yang ingin berjaya.

Rasulullah saw. mengajarkan para sahabat untuk selalu berlindung pada Allah dari sifat malas. “Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sesak dada dan gelisah, dari kelemahan dan kemalasan...”

Inilah di antara penyakit mental umat Islam masakini yang sangat bahaya. Malas bukan hanya merugikan diri sendiri, malahan juga orang lain seperti anggota keluarga, pekerja-pekerja, dan lain-lain. Kerana malas, seseorang atau sebuah kumpulan masyarakat akan menemui kegagalan untuk berubah kepada kebaikan.

Manusia dengan mudah mengeluarkan perbelanjaan untuk keperluan harian, samada makanan atau keselesaan hidup. Tetapi, secara umumnya mereka akan merasa berat untuk berbelanja untuk meraih ilmu. Malahan, majlis ilmu boleh diperolehi di merata tempat secara percuma. Ada yang dihidang dengan juadah percuma, dan pelbagai lagi bentuk insentif. Malangnya, majlis-majlis seperti itu tetap sepi tanpa sambutan.

Jadi, yang mahal dalam modal perubahan adalah kemahuan. Dari sinilah Allah memberikan jalan keluar. Maha Benar Allah dalam firman-Nya, “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69)

Jika ada kesempatan, membacalah. Kunjungi perpustakaan, kongsikan buku-buku dengan rakan-rakan, agihkan sedikit dari wang anda untuk membeli buku yang bermanfaat. Malahan, terdapat gedung ilmu yang sangat luas di internet, yang secara umumnya dapat dimanfaat secara percuma. Peluang dan ruang untuk membaca sentiasa bersedia menanti!

[Adaptasi dari tulisan Muhammad Nuh, Dakwatuna.com]

Pelawat

Load Counter

  © Blogger template 'Personal Blog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP