10 CARA MEMBINA MOTIVASI DIRI
10 CARA MEMBINA MOTIVASI DIRI
Tiba-tiba anda berasa tidak bermaya sekali. Hidup terasa tiada erti. Nyata anda telah kehilangan motivasi diri. Apa yang harus anda lakukan?
Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang dan lepaskan sekali gus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, “Hai, engkau dijadikan bukan untuk menjadi lemah.”
Kemudian bangkitlah dan cuba lakukan perkara-perkara berikut:
1. Perbaiki imej anda
Cuba lakukan sedikit perubahan. Kalau selama ini anda tidak kisah kalau seluar yang di pakai selama seminggu dan tidak bergosok, cuba kali ini menukarnya selalu dengan pelbagaikan warnanya.
Kalau selama ini jarang mengenakan tali leher, kenakan tali leher, tukar gaya menyikat rambut dan sangkutkan pen berjenama mahal di poket. Ubah gaya jalan anda, sesuai dengan attire baru yang anda kenakan.
Jika anda wanita, tukar imej kusam kepada kemas, elegan dan aktif. Perkemaskan juga wajah anda dengan solekan ringan. Kenakan warna-warna ceria pada pakaian anda; pada baju dan tudung. Hiasi jari dengan sebentuk cincin untuk menambah seri.
Jangan terlalu pendiam tetapi jangan pula terlalu bising. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika orang meminta pendapat dan diam ketika orang bercakap hal-hal sensitif seperti politik dan lain-lan.
2. Lakukan senaman ringan
Tubuh yang lemah, lembik dan lembam boleh dipulihkan dengan melakukan sedikit gerakan tubuh. Tidak perlu melakukan senaman-senaman berat kerana itu akan menyebabkan tubuh anda letih. Keletihan akan menyebabkan anda kembali tidak bermaya. Malah mengikut kajian, bukan semua orang sesuai melakukan senaman berat, sesetengah orang, atas sebab-sebab kesihatan dan fizikal semulajadinya lebih digalakkan supaya tidak bersenam dengan berat.
Senamkan juga minda anda dengan membaca atau mencuba sesuatu yang berhalangan. Bermain computer game mungkin salah satu caranya tetapi untuk lebih santai, senamkan minda dengan membaca, merenung, mempersepsi dan membuat ta’akulan.
3. Senyum
Senyuman boleh mengubah segala-galanya. Dalam mood yang tidak baik, memang agak sukar melakukan ini, tapi ingat jika anda senyum pulangannya serupa. Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda mungkin mendapat senyumannya balik. Jika anda memasamkan muka, orang lain juga akan memasamkan muka mereka terhadap anda.
Sifir kehidupan ini mudah, anda berbuat baik kepada orang lain, anda akan dibalas kebaikan yang sama atau mungkin yang lebih baik. Jika anda berbuat jahat kepada orang lain, anda akan mendapat balasan yang serupa atau lebih teruk. Dosa dibalas dengan Neraka, kebaikan dibalas dengan Syurga. Tidakkan itu adil??
4. Berfikiran positif
Berfikiran positif membolehkan minda anda mengeluarkan arus alpha iaitu arus kecemerlangan untuk membina kejayaan.
Berfikiran positif juga membuatkan perkara yang sukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan cerah dan insyALLAH rezeki pun akan meluas.
Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah menjadi pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH.
Berfikiran positif bakal melahirkan idea-idea positif. Idea-idea positif akan melahirkan tindakan-tindakan yang positif. Tindakan-tindakan yang positif selalunya membuahkan kejayaan dan kecemerlangan.
5. Dapatkan tidur yang mencukupi
Runsing, marah-marah mahupun pengur kadangkala disebabkan keletihan akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi. Berehatlah seenaknya dan jika perlu, tidur.
Kita memang memerlukan tidur yang berkualiti untuk mendapatkan kesegaran tubuh yang betul. Kalau telur ayam pun boleh digredkan mengikut kualitinya, dengan demikianlah hal-hal yang berkaitan dengan manusia, termasuklah tidur. Tidur-tidur ayam adalah tidur yang tidak berkualiti dan menyebabkan minda terdera serta tidak mendapat rehat yang secukupnya.
Tidur yang tidak berkualiti akan mencetuskan arus theta atau arus delta, dua arus kemunduran.
6. Luahkan pada seseorang
Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda berasa tidak stabil seperti ini, bahkan ketika dalam suasana-suasana yang biasa pun anda memerlukan seorang sahabat. Sahabat adalah seorang yang amat memahami anda dan sedia menjadi sahabat biar dalam keadaan apa sekalipun.
Seorang kawan boleh meninggalkan anda dalam keadaan demikian tetapi tidak jika dia bernama sahabat. Seorang sahabat adalah seseorang yang sudi berkongsi masalah anda serta sentiasa berdiri di sisi anda dengan nasihat-nasihatnya yang bak mutiara itu. Pilihlah sahabat yang baik, berbudi dan beriman kerana ciri-ciri yang ada pada dirinya itu adalah cermin keperibadian anda juga.
Adakah anda sahabat yang di cari?? Sudahkah anda menemui seorang sahabat yang setia??
7. Curahkan di atas kertas
Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudia bakar dan hanyutkan ke sungai. Terasa lega??
Adalah lebih baik juga jika anda mempunyai diari rahsia yang boleh mendengar dan menjadi tempat untuk anda meluahkan perasaan. Tidak kira sama ada perasaan gembira atau sedih. Diari adalah sahabat yang sangat jujur dan setia. Rahsia antara anda dengan ‘dia’ sahaja.
8. Bersedia untuk berubah
Jangan teraga-agak untuk melakukan perubahan. Jika orang lain boleh, mengapa anda tidak?? Apa istimewanya orang lain, sedang anda juga makhluk ALLAH yang dikurniakan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan-keistimewaan tertentu.
Bulatkan hati, kuatkan tekad dan oraklah langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Tanpa berkalau-kalau lagi. Lakukan perubahan dengan sepenuh hati dan lihatlah hasilnya nanti.
Kejayaan selalunya berkait rapat dengan kesungguhan. Kesungguhan pula bermula daripada hati yang bulat dan tekad yang padu. Semuanya ini hanya akan menjadi jika anda benar-benar ada kesediaan untuk melakukan perubahan. Semuanya saling berkait-kait dan bertimbal-balik.
9. Cari kegemaran baru
Sesetengah daripada kesukaan kita akan sampai kepada penghujungnya. Dalam perkataan lain, setiap kegemaran kita ada jangka hayatnya. Kalau dulu sewaktu kecil kita sangat suka bermain bola sepak, sekarang tidak lagi. Mungkin sewaktu di universiti kita cukup gemar berpersatuan, sekarang tidak lagi. Mungkin juga sewaktu remaja kita galak bercinta sekarang nurani itu sudah tiada lagi, berganti dengan matlamat membina kecemerlangan keluarga.
Semuanya dalam hidup kita ada jangka hayatnya yang tersendiri. Begitu juga dengan usia kita. Apabila sampai pada penghujung hayat, kita akan meninggalkan alam ini.
Hobi juga begitu. Maka apabila anda mula merasakan hidup ini mulai kosong, carilah kegemaran-kegemaran baru. Tidak salah bermain game misalnya, untuk melihat apakah minat anda boleh tumbuh di sini. Begitu juga tidak salah memelihara akan hiasan untuk melihat apakah hobi baru ini boleh memberi kesenangan kepada anda.
10. Bertegaslah
Bertegaslah dengan diri anda sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya. Apabila anda mengatakan pada diri sendiri untuk kembali ceria, bertegaslah untuk terus berkata begitu walaupun kadangkala perasaan anda seperti dibuai-buai untuk mengatakan anda sedang bad mood sekarang.
Bertegas pada diri bukan ertinya anda tidak boleh memanjakan diri sendiri. Sekali-sekala layanlah diri anda sendiri sebagaimana anda melayani tetamu. Pergi makan-makan di tempat mewah dan berikan hadiah pada diri sendiri. Itu pun salah satu cara menghargai diri sendiri.
Jika anda sendiri tidak selesa untuk menghormati diri anda, apakah wajar anda mengharap demikian daripada orang lain??
0 comments:
Catat Ulasan