Ramadhan al-Mubarak
Syaaban bakal berakhir dan Ramadhan bakal menyusul tiba beberapa hari lagi. Marilah wahai sahabat iLuvislam yang disayangi,kita sama-sama menghitung dan bermuhasabah diri. Bagaimanakah persiapan menanti bulan yang penuh keberkatan yang ditunggu-tunggu oleh para kekasih NYA. Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan baik dari yang sebelumnya. Ameen.
Berpuasa merupakan sumber kebahagiaan zahir dan batin bilamana ia mampu menjadi penyembuh dari segala penyakit ini.
'Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.' (Al-Baqarah:183)
Puasa adalah ibadat yang berkesan sekali dalam mengendalikan hawa nafsu sekaligus dapat menyinari hati dan mendidik seluruh anggota sehingga ke martabat taqwa, kerana puasa yang sebenar-benarnya bukan hanya menahan perut dan kemaluan serta mengecap keinginan syahwat bahkan mengekang pancaindera daripada melakukan perkara-perkara dosa dan haram. Akhirnya berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran keduniaan yang boleh memesongkan perhatian selain Allah.
Ia juga mempunyai kebaikan kepada tubuh badan kerana ia merehatkan anggota badan yang bekerja keras selama setahun mencerna makanan yang diambil. Menurut kajian yang dilakukan berpuasa dapat menurunkan berat badan,kandungan glukosa dsbnya. Solat tarawih pula melalui suatu kajian mendapati akan membakar rata-rata 10 kalori tenaga setiap raka`at, di samping meningkatkan kesihatan tulang, otot, sendi dan lain-lain. Bagi para perokok inilah masanya untuk dijadikan batu loncatan buat diri untuk berlatih berhenti merokok.
Orang yang beriman akan menyibukkan diri pada malam harinya terutamanya di kala sepuluh malam terakhir seperti hadis Rasulullah s.a.w,baginda bersabda: 'Orang yang berpuasa semasa Ramadhan dengan iman dan mengharapkan ganjaran dari Allah akan diampunkan dosanya, dan orang yang bersolat pada sepanjang malam Lailatul Qadr dengan iman dan mencari ganjaran daripada Allah akan diampunkan dosa-dosanya.' (Hadis Bukhari dan Muslim). Betapa besarnya ganjaran yang dijanjikan oleh Allah swt pada hamba-hambanya yang menginginkannya. Setelah setiap hari kita sentiasa melakukan dosa, tidakkah terasa kerdil kita dihadapannya kerana masih memberikan satu bulan untuk hamba-hambanya kembali padaNYA? Amatlah rugi diri ini sekiranya peluang yang diberikan tidak diambil dan dimanfaatkan sepenuhnya.
"Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: "Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia (orang yang berpuasa) telah meniggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku."(Hadits riwayat Muslim)
Marilah kita memperbanyakkan amal soleh serta amalan-amalan sunat agar kita dapat meraih cinta Yang Maha Esa. Tingkatkan pembacaan al-quran dan maknanya, ringan-ringankanlah anggota untuk melaksanakan solat-solat sunat seperti solat tarawih dan basahkanlah lidahmu dengan berzikir sentiasa. Lakukanlah mengikut kemampuan diri masing-masing kerana Allah tidak pernah menzalimi hambaNYA.
Dikesempatan ini juga saya ingin mengingatkan diri saya terutamanya dan sahabat-sahabat mengenai perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa agar sama-sama kita dapat menjaga diri kita.
-Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
-Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja.
-Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).
-Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak mengeluarkan mani.
-Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk cium dan sebagainya.
-Kedatangan haid atau nifas.
-Gila sekalipun hanya sekejap masa.
-Mabuk atau pengsan sepanjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
-Bersalin.
-Murtad-iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.
Moga cahaya keimanan bisa meresap ke dalam hati dan dipancarkan dengan kemuliaan akhlaq. Apa pun,semua perkara perlu dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas hanya kerana NYA serta rancanglah bagaimana kiranya Ramadhan kali ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana mungkin kita tidak sempat untuk bertemu Ramadhan seterusnya. Alat bantu seperti jadual dan nota untuk ingatan diri dapat digunakan untuk memastikan masa yang terluang tidak dibazirkan.
*Sekadar selingan,tambahan mengapa saya suka bulan Ramadhan kerana nama saya akan disebut-sebut di corong-corong radio,tv dan di mana-mana jua kerana istimewanya LAILATUL Qad'r itu ^_^
Ramadhan datang lagi,
Bulan yang penuh keberkatan dan rahmat dari Ilahi,
Ayuh tanamkan keazaman dalam diri,
Untuk menambah iman di hati.
Bulan yang penuh keberkatan dan rahmat dari Ilahi,
Ayuh tanamkan keazaman dalam diri,
Untuk menambah iman di hati.
wallahu'alam.
dipetik dari:
www.iLuvislam.com
oleh: lailatulema
0 comments:
Catat Ulasan