Hadis-hadis tentang Syaaban?
a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:
- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar))..
Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.
- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).
Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.
- Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)). Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.
Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.
Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya.
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).
Apakata Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi?
Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: ((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).
Beliau menambah lagi: ((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah.
Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi: ((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).
(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)
c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.
Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis.
Nisfu Syaaban: Hentikan Penyebaran Hadis Palsu
http://yapis.blogspot.com/2005/09/nisfu-syaban-hentikan-penyebaran-hadis.html
wallahu a'lam..
0 comments:
Catat Ulasan