Rabu, 6 Ogos 2008

Ada Apa Dengan Syaaban?

PENGENALAN

Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari air disebabkan kemarau yang berpanjangan.

Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dll juga. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang tersendiri antaranya:

01. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.
02. Keperkasaan dan ketinggian.
03. Kebaikkan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.
04. Kasih-sayang dan kemesraan.
05. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertakwa.


ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN


01. Berkata Imam Nawawi: Hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam. Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.
02. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.
03. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.



ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN


Memperbanyakkan puasa sunat.

Saidatina Aisyah berkata:

Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saidatina Aisyah berkata:

Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajib) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian. (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Melazimi Berzikir dan Berdoa


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah. (Riwayat Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Doa merupakan otak kepada ibadat. (Riwayat at-Tarmizi).

Saidatina Aisyah berkata:

Adalah Rasulullah S.A.W. mengingati Allah (berzikir kepada Allah) setiap masa. (Riwayat Muslim).


Sentiasa Bertaubat dan Beristigfar


Firman Allah Taala bermaksud:

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya. (Surah an-Nur: ayat 31).




KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN

Adapun antara kelebihan malam Nisfu Syaaban itu ada disebutkan di dalam beberapa hadis. Di malam Nisfu Syaaban juga adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan. (Riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah. (Riwayat Baihaqi).

Berkata Imam Shafie:

Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Berkata Imam Ghazali:

Sesungguhnya sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan) menghidupkan hari siang dan malam yang mempunyai kelebihan antaranya malam Nisfu Syaban.


MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN

Para tabiin ada menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara:

Pertama: Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

Kedua: Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Adapun cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidaklah pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. akan tetapi ia berlaku pada zaman tabiin dari penduduk Syam. Di kebanyakkan negara Arab dan Nusantara kebiasaanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban dengan setiap satu bacaan dengan niat tersendiri sepertimana yang pernah diajarkan oleh para tok guru terdahulu. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya memandangkan dilakukan oleh para ulama zaman berzaman sejak dari dahulu lagi hinggalah kini.

Amalan seperti ini tidaklah dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. sendiri akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadat tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Adapun kebanyakkan masyarakat sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabiiin itu dan dilakukan juga oleh para ulama.


dipetik dari:
Syaaban: Ada Apakah Padanya?
www.iLuvislam.com
oleh:buluh*
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1127




p/s: ada ganjaran utk malam nisfu syaaban, digalakkan banyak beribadat, TAPI TIADA AMALAN KHUSUS..

wallahu a'lam


0 comments:

Pelawat

Load Counter

  © Blogger template 'Personal Blog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP