Isnin, 15 Jun 2009

Murid Cerdik Tapi Guru Klasik













Apabila membaca buku sejarah melayu, kita bertemu dengan kisah sejarah Hang Tuah lima bersaudara. Kemasyhuran Hang Tuah lima bersaudara dikaitkan dengan guru mereka yang bernama Aria Putera dari Bukit Panchalusa. Selepas Hang Tuah lima bersaudara tamat belajar ilmu silat di Bukit Panchalusa itu, mereka pulang lalu berjaya mengalahkan lanun-lanun dan orang mengamuk di pasar.

Akhirnya, kelima-lima saudara itu dipanggil oleh raja dan dilantik menjadi pembesar istana. Sejak itu, kelima-lima mereka menjadi orang besar sehingga sampai kepada peristiwa sedih yang berlaku iaitu kisah bagaimana Hang Tuah membunuh Hang Jebat, sahabatnya yang paling dikasihinya.

Itulah sejarah melayu yang masyhur. sejarah itu ditulis ketika negeri Melaka terkenal kira-kira 500 tahun yang lalu. Dunia Melayu, kira-kira 500 tahun dahulu, memasyhurkan tokoh-tokoh Melayu dalam ilmu persilatan dan disebut sebagai legenda. Nama Hang Tuah lebih terkenal daripada nama-nama para ilmuwan lain. mengalahkan kemasyhuran Tun Perak yang menjadi Bendahara atau Perdana Menteri Melaka waktu itu, ataupun nama Tun Sri Lanang yang dipercayai penulis kitab Sejarah Melayu itu sendiri.

Kita tidak pun mengenali para ilmuwan Melayu waktu itu yang mahir dalam pelbagai ilmu seperti perubatan dan sebagainya. bagi menampakkan Hang Tuah lebih luar biasa, maka Hang Tuah dikatakan juga seorang yang mahir dalam pelbagai bahasa. nampaknya, medan persilatan menjadi punca kemasyhuran seseorang pada zaman tersebut.

Guru-guru silat itu pula semestinya mengajar di dalam gua ataupun berada di bukit-bukit pertapaan. mereka sangat sukar didampingi. para guru menjauhi diri daripada masyarakat. anak murid yang berjaya bertemu guru itu pulang membawa kemasyhuran. demikian makna keilmuan pada 500 tahun dahulu di negeri Melayu. itulah zaman Hang Tuah.

Namun, apabila dibandingkan dengan sejarah islam di mana-mana pelosok dunia, keagungan empayar islam tidak pula ditonjolkan menerusi kemasyhuran panglima-panglimanya seperti yang dilakukan pada Hang Tuah. sebaliknya, yang tertonjol ialah para ahli fikir, ahli ilmu, serta pemerintah itu sendiri. Tiada legenda para pembesar islam yang ditonjolkan kerana ilmu persilatannya. inilah perbezaan penonjolan kemasyhuran di alam melayu dengan di alam dunia lain.

Sekarang, kemasyhuran seseorang sudah tidak lagi ditentukan oleh ilmu persilatan. para pelajar yang ingin membina kemasyhuran dan menjadi pembesar negara tidak perlu lagi mengetahui ilmu persilatan. sebaliknya, mereka tahu ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu teknologi maklumat, matematik, sains politik, sains sosial, ilmu keagamaan, dan sebagainya.

Manakala para guru tidak perlu lagi berada di gunung-gunung menanti murid-murid datang menghadap. para guru kini berada di menara gading di mana murid-muridnya tidak lagi perlu mendaki. cukup dengan kereta dan motosikal untuk bertemu mereka.

Pada zaman Hang Tuah, semakin klasik ilmu yang dimiliki para guru itu maka semakin dia berhikmat, tetapi kini sebaliknya. semakin guru itu mengetahui ilmu-ilmu semasa, semakin bijaksana guru itu.

Kita memandang kemasyhuran kita bukan pada guru-guru yang berlagak umpama guru silat pada zaman Hang Tuah. demikian juga tidak wajar apabila guru hanya memiliki ilmu-ilmu lama tanpa memperbaharui ilmu serta kaedah pendidikan yang baru.

Lebih malang apabila anak-anak murid yang cerdik diajar pula oleh guru yang suka cara-cara klasik yang tidak berkembang. sebab itu, islam menawarkan guru yang cerdik bagi anak murid yang pintar. guru yang cerdik ialah guru yang mengembangkan ilmunya supaya sesuai dengan zaman sekarang.

Kita mungkin kini tidak akan masyhur dengan pandai ilmu persilatan tapi biarlah kita masyhur kerana dapat membangunkan orang lain dan membawa orang lain bahagia. inilah zaman kita selepas ditinggalkan Hang Tuah 500 tahun yang lalu.

0 comments:

Pelawat

Load Counter

  © Blogger template 'Personal Blog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP